Saturday, 31 May 2014

langkah-langkah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

Sejak akhir-akhir ini didapati kadar kemalangan jalan raya semakin
meningkat di negara kita.  Dapat dilihat banyak kemalangan yang mengorbankan
nyawa berlaku terutamanya menjelang musim perayaan. Kebanyakan individu yang menjadi
mangsa terdiri daripada golongan remaja dan belia. Oleh yang demikian, semua
pihak haruslah memikirkan dan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kadar
kemalangan di jalan raya.

                        Pelbagai cara harus diambil bagi mengurangkan kadar kemalangan. Salah satunya adalah melalui kempen keselamatan jalan raya yang disiarkan dan dipaparkan melalui media elektronik dan media cetak. Contohnya, pihak Jabatan Penerangan mencetak dan mengedarkan poster-poster berkaitan kempen ini kepada orang ramai dan ditampal di tempat-tempat umum. Melalui televisyen juga ada disiarkan rintihan hati individu yang kehilangan ahli keluarga akibat terlibat dalam kemalangan. Dengan adanya kempen ini, banyak memberi kesedaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dan lebih berhemah semasa berada di jalan raya.

                        Seterusnya penguatkuasaan undang-undang jalan raya oleh pihak-pihak yang berkenaan haruslah di buat. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan  dan Polis Diraja Malaysia perlu menggiatkan operasi sekatan jalan raya kepada semua pengguna jalan raya tidak hanya terhad semasa musim perayaan sahaja . Setiap kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya dikenakan denda saman yang tinggi. Ekoran itu pelanggaran peraturan jalan raya dapat dikurangkan. Hal ini diharapkan dapat menyumbang ke arah penurunan kadar kemalangan di Negara kita.

                        Di samping itu, pemeriksaan kenderaan berkala perlu dibuat oleh pemilik kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Pemeriksaan boleh dibuat di Puspakom bagi memastikan kenderaan berada dalam kondisi yang baik dan sesuai digunakan di jalan raya. Sehubungan itu, pemilik kenderaan dapat melalui perjalanan dalam keadaan yang selamat.

                        Keadaan kesihatan yang baik kepada semua pengguna jalan raya juga amat penting terutamanya kepada pemandu kenderaan awam dan penunggang-pengunggang motosikal. Mereka memerlukan rehat dan tidur yang cukup sebelum memulakan perjalanan. Ini dapat mengelakkan mereka daripada keletihan dan mengantuk ketika memandu. Oleh itu, dapat menyelamatkan banyak nyawa untuk sampai dengan selamat ke destinasi masing-masing.

                        Sebagai kesimpulan, banyak faktor yang boleh diambil untuk membendung kadar kemalangan jalan raya yang semakin menjadi-jadi. Oleh itu,bersama-samalah kita mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya. Berhati-hati semasa memandu,ingatlah orang tersayang.

Friday, 30 May 2014

Pemasangan tanda keselamatan perlu disegerakan

KUALA LUMPUR 26 Mei - Ibu bapa pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Selayang 1 & 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selayang, dekat sini meminta pihak berkuasa tempatan menyediakan papan tanda dan bonggol di hadapan sekolah berkenaan bagi ke­selamatan pelajar.

Seorang suri rumah, Ardawati Hamzah, 34, berkata, ketiadaan bonggol dibina di hadapan sekolah itu menyebabkan keadaan lalu lintas di situ sukar dikawal.

Katanya, dia amat bimbangkan keselamatan anaknya yang keluar masuk dari sekolah itu kerana kenderaan yang melalui jalan di situ se­ring dipandu laju.

"Di sini pernah berlaku kemalangan melibatkan seorang pelajar yang tiba-tiba melintas dan hampir dilanggar kereta.

"Walaupun tidak melibatkan nyawa, ia sesuatu yang amat membimbangkan ," katanya.

Ibu kepada seorang pelajar pra sekolah di situ pula, Zainun Bebe, 40, turut melahirkan rasa kesal kerana kegagalan pihak bertanggungjawab memasangkan papan tanda keselamatan di hadapan sekolah itu.

Katanya, keadaan bertambah buruk apabila lampu isyarat yang rosak tidak diperbaiki sehingga ke hari ini.

"Pihak bertanggungjawab perlu segera turun padang melihat masalah ini demi keselamatan dan keselesaan pelajar," katanya.

Turut berkongsi perasaan, seorang pemandu teksi, Bahari Ismail, 64.

Dia yang mengambil cucunya dari sekolah berkenaan keadaan di situ sesak terus sebaik sesi persekolah tamat.

"Selain bas sekolah, kenderaan ibu bapa yang ingin mengambil pelajar yang diletakkan di bahu-bahu jalan turut memburukkan lagi keadaan di situ.

"Lebih membimbangkan, tindakan pemandu kenderaan berat yang memandu laju di kawasan ini," katanya.

Dalam pada itu, seorang penyelia logistik di sebuah syarikat swasta, Fauzi Radzi, 46, turut bersetuju dengan cadangan agar pihak berkuasa tempatan memasang ciri-ciri keselamatan di situ demi ke­selamatan pelajar.

Katanya, ini termasuklah pemasangan bonggol di hadapan sekolah berkenaan.

"Pihak berkuasa juga perlu me­lakukan operasi bagi mengekang kegiatan pemandu yang memandu laju bagi menyedarkan mereka mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140527/wk_02/Pemasangan-tanda-keselamatan-perlu-disegerakan#ixzz35MOD8kIn 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, 14 May 2014

Kenapa Perlu Ada Peraturan?

Di mana saja kita berada, ada peraturan yang mesti kita patuhi. Ini termasuklah di sekolah, di rumah, di masjid, di jalan raya, di perpustakaan, di hospital, di pusat membeli-belah, di taman permainan dan sebagainya. Peraturan bukan untuk menyusahkan kita tetapi untuk kebaikan kita.

Kita perlu kepada peraturan kerana:

   Peraturan dapat mengingatkan kita supaya melakukan perkara-perkara yang sesuai di sesuatu tempat. Kita akan sedar bahawa perkara yang tidak boleh dibuat di tempat tertentu walaupun perkara itu boleh dilakukan di tempat lain. Misalnya, kita boleh belari-lari di taman permainan, tetapi mesti berjalan dengan tertib di dalam masjid.


   Peraturan dapat membantu kita mengawal tingkah laku kita. Kalau kita mempunyai sifat terburu-buru, kita akan cuba bertenang untuk mematuhi peraturan di tempat tertentu. Misalnya, kita akan menunggang basikal dengan tenang dan mematuhi peraturan lampu isyarat di jalan raya. Orang yang biasa buat jahat pula akan mengawal tingkah lakunya demi mematuhi peraturan.


   Dengan adanya peraturan, kehidupan kita akan lebih selesa dan tenang. Misalnya, dengan adanya peraturan di perpustakaan, kita akan dapat membaca dalam suasana tenang. Kita tidaka kan terganggu dengan suara perbualan.


   Peraturan juga menjadikan kita berdisiplin. Misalnya, jika peraturan sekolah menghendaki kita hadir di kelas pukul 7.30 pagi, kita akan bangkit dan bersiap lebih awal untuk sampai di sekolah tepat pada waktunya.
Jika sudah biasa, kita akan dapat mendisiplinkan diri bangkit awal setiap hari walaupun pada hari cuti.


   Adanya peraturan membolehkan kita mengekalkan satu-satu tabiat atau amalan yang baik. Misalnya, ramai ibu bapa di rumah menetapkan waktu lepas Maghrib sebagai waktu mengaji al-Quran. Jika kita patuh kepada peraturan yang ibu bapa tetapkan, tentu kita akan adapat mengekalkan amalan membaca al-Quran setiap hari. Apabila kita sudah dewasa nanti, amalan baik yang sudah sebati ini mampu kita kekalkan walaupun sudah tinggal berjauhan daripada ibu bapa.


   Peraturan juga memudahkan kita berurusan di tempat-tempat tertentu. Misalnya, peraturan yang terdapat di pejabat Pendaftaran Negara memudahkan kita berurusan untuk mendapatkan kad pengenalan. Kita akan tahu bila tibanya giliran kita untuk berurusan, di mana hendak mengambil gambar foto dan bila untuk datang semula bagi mendapatkan kad pengenalan yang sudah siap.


   Itulah antara sebab-sebab mengapa kita perlu kepada peraturan. Rasanya, bolehkah kita menjalani kehidupan yang baik, aman dan selesa tanpa adanya sebarang peraturan?